Kemusykilan Masyarakat Berkenaan
Ibadah Qurban
Rujukan : Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan Malaysia
Tidak boleh menggabungkan niat akikah dan korban dalam satu masa. Meskipun korban dan akikah adalah dalam jenis yang sama iaitu sembelihan, namun kedua-duanya adalah ibadah sunat yang membawa maksud tersendiri dan berbeza antara satu sama lain. Pendapat ini juga lebih bersifat ihtiyat (hati-hati) dan keluar dari perselisihan yang ada.
Sekiranya akikah bertepatan dengan korban pada hari raya aidiladha atau hari-hari tasyriq, maka sebaiknya dipisahkan antara keduanya. Iaitu dilaksanakan kedua-duanya (sembelihan korban dan akikah) sekiranya mampu. Namun sekiranya tidak mampu melaksanakan kedua-duanya sekaligus, maka hendaklah didahulukan ibadah korban dahulu kerana ia bertepatan dengan hari raya korban dan waktunya agak singkat.
Adapun sekiranya seseorang itu berada dalam keadaan sangat tidak berkemampuan pada waktu tersebut serta wujud kebimbangan tidak dapat melaksanakannya pada tahun-tahun seterusnya, maka bolehlah ia bertaqlid kepada pendapat Imam al-Ramli dan sebahagian ulama’ lain yang mengharuskan menghimpunkan niat dalam ibadah korban dan akikah untuk mendapatkan kelebihan dan pahala kedua-duanya. Namun sekiranya dia berkemampuan maka hendaklah diasingkan sembelihan keduanya (berbalik kepada pandangan pertama). Dalam hal ini, para ulama’ mengatakan bahawasanya lebih banyak seseorang melaksanakan amalan maka lebih banyak pahala yang akan diperoleh. Justeru marilah sama-sama kita memperbanyakkan amalan lebih-lebih lagi ibadah yang sangat dituntut ini dalam kehidupan.
Tidak boleh untuk dimasak dan dijamukan kesemua daging korban, bahkan wajib untuk disedekahkan sebahagian daripadanya dalam keadaan mentah kepada golongan fakir miskin. Kadar sebahagian itu tidak ditetapkan, bahkan boleh diberikan dalam kuantiti yang sedikit dan kepada seorang sahaja daripada golongan fakir miskin. Manakala, daging korban yang berbaki daripada apa yang telah disedekahkan tersebut, bolehlah dimasak dan diadakan kenduri untuk dijamu kepada orang ramai.
Jika sekiranya korban tersebut merupakan nazar atau yang telah ditentukan untuk dijadikan korban, maka wajib untuk dia menyedekahkan kesemua daging tersebut dan tidak boleh dia memakan sebahagian daripadanya.
Manakala, jika sekiranya ia merupakan korban yang sunat, maka cara yang afdhal bagi pembahagian daging korban tersebut ialah menyedekahkan kesemuanya bagi mencapai tujuan korban tersebut, serta memakan sedikit daripadanya untuk beramal dengan zahir nas al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.
Ulama’ telah bersepakat bahawa dibolehkan untuk seseorang mewakilkan orang yang lain untuk melakukan korban bagi dirinya dengan syarat yang mewakilakannya itu adalah seorang muslim.
Muzakarah Fatwa Kebangsaan kali ke-66 pada 2004 memutuskan berkenaan hukum wakalah dan beberapa perkara berbangkit dalam ibadat korban, antaranya: Muzakarah bersetuju menerima keputusan yang diputuskan oleh Panel Kajian Syariah dan meminta JAKIM menyediakan sighah al-Taukil yang merangkumi jenis ibadat korban dan keizinan muwakkil kepada wakil untuk menyerahkan kepada pihak lain bagi menyempurnakan ibadat korban.
Keputusan mesyuarat Panel Kajian Syariah adalah seperti berikut:
- Hukum asal wakalah adalah harus.
- Harus bagi wakil mewakilkan kepada orang lain dengan keizinan muwakkil.
- Harus bagi wakil mewakilkan kepada orang lain sekiranya tidak mampu atau tidak layak melakukan sendiri perkara yang diwakilkan tersebut.
- Harus mengagihkan daging korban ke tempat atau negara lain.
Bagi mereka yang ingin melakukan ibadah korban, apabila tibanya 1 Zulhijjah maka disunatkan untuk tidak memotong kuku, rambut serta bulu-bulu yang berada di badan sehinggalah selesai dia melakukan ibadah korban tersebut. Ini seperti mana pendapat al-Imam al-Syafi’e beserta ashabnya yang lain dan ini juga adalah pendapat muktamad di dalam mazhab al-Syafi’e.
Antara hikmah yang disebut oleh Imam Nawawi Rahimahullah dalam Syarah-nya ialah larangan memotong kuku dan menggunting rambut bagi orang yang ingin melaksanakan korban ialah supaya anggota yang terdapat pada badannya itu semuanya akan dibebaskan daripada api neraka. Ada pendapat yang lemah menyatakan untuk menyerupai orang yang berada dalam keadaaan ihram di mana dia diharamkan untuk bergunting, mencukur, memotong kuku dan beberapa larangan lain. Wallahua’lam.
Pendapat kebanyakan Syafi’eyyah iaitu mesti adanya wasiat dari si mati untuk melakukan korban buat dirinya.
Namun, tidak menafikan pendapat sebahagian Syafi’eyyah yang berpendapat bahawa tidak memerlukan kepada wasiat. Ini sepertimana yang telah dinukilkan oleh Prof. Dr. Muhammad al-Zuhaili Hafizahullah yang mana menyebutkan: “(dan dikatakan) sah hukumnya sembelihan bagi si mati sekalipun tidak diwasiatkan kerana ianya seperti sedekah maka sahlah juga bagi si mati dan ianya memberi manfaat buatnya”. [Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e. Dar al-Qalam, 2/490]